Selasa, 20 April 2010

Pernah Tengok Batu Rakit?

Untuk sampai ke Pantai Batu Rakit tidak susah kerana papan tanda untuk menuju ke pantai sentiasa ada disepanjang jalan. Yang Pasti anda tidak akan sesat. Apabila ternampak masjid
Batu Rakit dari arah Kuala Terengganu maka belok ke kanan. Tidak jauh lebih kurang 300 meter maka ternampak pantai Batu Rakit yang cantik. Apabila berada ditepi pantai kita boleh
melihat Batu Rakit dari jauh yang membentuk seperti pulau. Di atas batu ini di dirikan menara api sebagai pentunjuk nelayan yag berada dilaut. Ia juga berfungsi supaya bot-bot nelayan tidak melanggar batu tersebut.
Inilah Batu Rakit yang terletak lebih kurang 2 km dari pantai. Batu yang sentiasa timbul dipermukaan laut & tidak pernah ditenggelami walaupun air pasang. Wakil Rakyat DUN Batu Rakit ialah YB Ustaz Khazan Che Mat.

Respon oleh rakan facebook mengenai Batu Rakit. http://www.facebook.com/photo.php?pid=436637&id=1669429885&comments

5 ulasan:

UMAIRAH berkata...

hebat awak cari tempat2 yang jarang2 orang kat terengganu n tau.... saya sendiri belum sampai lagi n tgk lagi batu rakit n.... sesuai dgn nama blog yang awak bagi nama.... terengganu hebat.... memang hebat....

ALUMNI INSTEP berkata...

PART 1:
Tiada catatan rasmi mengenai tarikh sebenar pembukaan penempatan di Batu Rakit tetapi dipercayai penempatan di Pantai Batu Rakit telah dibuka dalam lingkungan 1700-an oleh sekumpulan masyarakat yang menjalankan aktiviti menangkap ikan. Masyarakat tersebut dipercayai berhijrah dari selatan Siam kerana pergolakan yang berlaku disana ketika itu.

Nama Batu Rakit diambil sempena dengan kewujudan satu jajaran batu yang permukaan atasnya kelihatan timbul yang terletak lebih kurang 300 meter di tengah laut dari pantai yang kelihatan seolah-olah ianya sebuah rakit. Pada zaman pencerobohan tentera Jepun ke Tanah Melayu, pihak tentera Jepun pernah mengebom batu tersebut kerana ianya disangka sebagai kapal perang tentera British.

Pada zaman pemerintahan Bristih di akhir abad ke-19 dan awal tahun 1900-an, Batu Rakit merupakan sebuah daerah yang terdapat di dalam negeri Terengganu. Daerah Batu Rakit ketika itu merangkumi kawasan jajahan yang agak luas. Sempadan kawasan pertadbiran Daerah Batu Rakit ketika itu ialah Kawasan Merang di sebelah utara sehingga ke sempadan Seberang Takir di sebelah Selatan. Sementara dari timur ke barat pula, kawasan pertadbiran Batu Rakit bermula dari persisiran pantai Laut China Selatan sehingga ke Tepoh.

Sebagai sebuah daerah ketika itu, Batu Rakit mempunyai pusat dan organisasi pertadbirannya sendiri yang berasingan daripada Daerah Kuala Terengganu.
Antara premis pertadbiran yang terdapat ketika itu termasuklah sebuah Pejabat Daerah, pelabuhan kecil di Pantai Batu Rakit yang ditadbirkan oleh sebuah Pejabat Kastam yang didirikan di kawasan Pantai Batu Rakit. Terdapat juga sebuah mahkamah daerah yang digunakan untuk perbicaraan kes-kes kecil yang mana pegawai daerah ketika itu dilantik menjadi majistret.
Dalam lingkungan tahun 1937, Batu Rakit ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah yang bernama Yang Mulia Syed Abdul Kadir Abdullah Al-Aidarus dan bergelar Yang Mulia Engku Pengiran Anum. Beliau dikenali oleh penduduk Batu Rakit sebagai Engku Kadir.

Beliau dikenali oleh penduduk sebagai seorang yang menitikberatkan kemajuan ekonomi dan pendidikan penduduk setempat. Hasil usaha beliaulah, tertubuhnya bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Rakit pada tahun 1937, iaitu salah sebuah sekolah tertua di Terengganu yang dibina dalam kawasan pertadbiran JKKK Pantai. Tapi malangnya bangunan bersejarah tersebut telah dirobohkan dalam tahun 2009 dengan alasan pembesaran bangunan sekolah yang sedia ada. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, bangunan bersejarah tetap dirobohkan..

Pada ketika itu, pelbagai premis perniagaan dan penempatan wujud di merata- rata dan ianya menjadi pusat tumpuan penduduk. Ianya juga menjadi tempat tumpuan ekonomi dan pusat perniagaan. Berdasarkan senario tersebut maka pelbagai pusat hiburan dan pengangkutan wujud di Batu Rakit ketika itu antaranya ialah panggung wayang, pusat permainan biliard dan juga stesen bas. Stesen bas baru dibina bagi menggantikan stesen bas lama. Terdapat juga Jalinan jalan perhubungan darat yang baik yang menghubungkan Batu Rakit dengan beberapa kawasan seperti Seberang Takir dan Merang .

ALUMNI INSTEP berkata...

PART 2:

Selepas British mengambil alih pemerintahan dari penguasaan Jepun memerintah Tanah Melayu dalam tahun 1945, Daerah Batu Rakit dimansuhkan oleh pertadbiran British.

Dalam tahun tersebut, satu persidangan mengenai sempadan negeri telah dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu dan persidangan tersebut dikenali sebagai 'Christmas Conference' yang mana tujuanya untuk menyusun semula sempadan daerah.





Hasil daripada persidangan tersebut keputusan telah dibuat seperti berikut:-
Daerah Kemaman dan Kemasik telah dicantumkan menjadi Daerah Kemaman
Daerah Dungun dan Paka telah dicantumkan menjadi Daerah Dungun.
Daerah Merang, Batu Rakit dan Kuala Terengganu telah dicantumkan menjadi Daerah Kuala Terengganu.
Daerah Besut dan Setiu telah dicantumkan menjadi Daerah Besut.
Perubahan sempadan ini dibuat kerana ketidakcekapan pentadbiran serta keluasan yang tidak ekonomik serta tidak dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat.

Dengan termenterainya perjanjian itu, maka dengan rasminya Daerah Batu Rakit telah dimansuhkan dan dicantumkan dalam daerah Kuala Terengganu. Batu Rakit ditarafkan hanya sebagai sebuah mukim sahaja.

Bermula dengan itulah, maka keadaan Batu Rakit baik dari segi sosio ekonomi ataupun kemudahan prasarana semakin mundur dan terkebelakang. Kawasan yang satu masa dulu yang begitu sibuk dengan aktiviti perniagaan kini semakin sunyi dan ada yang terbiar.

Kedudukan Mukim Batu Rakit di penghujung Daerah Kuala Terengganu yang bersempadan dengan Daerah Setiu yang diwujudkan dalam tahun 1985 menyebabkan pembangunannya yang agak perlahan.

Bagi pengembangan agama Islam pula, sebuah masjid telah dibina di Kampung Kubur yang mana ianya masih kekal sehingga ke hari ini. Masjid ini dibina dalam tahun 1940an untuk kegunaan umat Islam di Batu Rakit beribadat menunaikan sembahyang berjemaah.

Namun begitu, kerana pertambahan penduduk, masjid tersebut tidak mampu untuk menampung jemaah yang semakin bertambah. Oleh itu, kerajaan telah membina sebuah masjid baru yang lebih besar di tanah tapak Pejabat Pegawai Daerah Batu Rakit yang dibuat daripada kayu dalam tahun lewat 1970-an. Sekali lagi masjid tersebut diperbesarkan dan dibuat baru yang menggunakan batu dalam tahun 1992. Masjid ini dikenali sebagai Masjid As Salam.

Pada masa zaman kegemilangan Batu Rakit, 3 kaum utama menjalankan pelbagai aktiviti pekerjaan iaitu masyarakat Melayu menjalankan aktiviti nelayan, masyarakat Cina menjalankan perniagaan dan masyarakat India menguruskan kedai makan. Tetapi sekarang, cuma tinggal masyarakat Melayu dan Cina sahaja yang menetap di pantai Batu Rakit.

wamora wasa berkata...

terima kasih bro diatas penerangan sejarah & perkembangan Batu Rakit. banyak pengetahuan yg kita perolehi drp instep.

Unknown berkata...

Balik nanti nak gi melawat Batu rakit sambil cari Kropok yang sedap sedap kat situ ...