Isnin, 18 Oktober 2010

Terus Ke Jeddah



AHMAD Said bermesra dengan sebahagian bakal haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.


Buat pertama kalinya Penerbangan Malaysia (MAS) mengadakan penerbangan membawa jemaah umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Arab Saudi pada 18 Mac tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penerbangan itu dijangka mengambil masa sembilan jam 45 minit untuk sampai ke Jeddah.
"Atas hubungan baik pihak MAS dengan kerajaan negeri khususnya dalam urusan penerbangan jemaah haji, program perintis ini bakal memberi peluang kepada 450 orang rakyat negeri ini menikmati perkhidmatan itu.

"Dengan kadar tambang lebih rendah, pakej umrah 10 hari itu akan memberi keutamaan kepada petugas-petugas haji di negeri ini, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan ia dibuka kepada seluruh rakyat Terengganu jika sambutan diterima amat menggalakkan," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghantar 344 jemaah haji menaiki penerbangan KT26 di LTSM dekat sini malam tadi.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang, beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan wakil-wakil rakyat.Tambah Ahmad, bagi memastikan LTSM yang memiliki landasan ketiga terpanjang di negara ini terus 'hidup', kerajaan negeri dan MAS merancang membuka semula laluan ke Pulau Pinang serta mewujudkan laluan penerbangan ke empat destinasi di Thailand.
"Saya pernah mengadakan perbincangan dengan seorang Ahli Parlimen Thailand supaya bakal jemaah haji dari selatan negara berkenaan menggunakan LTSM untuk ke Jeddah," katanya.Pada tahun ini jelasnya, kerajaan negeri menyediakan subsidi RM3.9 juta untuk jemaah haji, meliputi aspek penyediaan makanan dan persiapan.
Sementara itu katanya, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah dari Terengganu selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari lain-lain negeri pada musim haji tahun ini.

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my

Tiada ulasan: