Jumaat, 15 Oktober 2010

Sukan Kuda Lasak Tarikan Pelancong

Salah satu perlumbaan kuda lasak yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park Lembah Bidong, Setiu, awal tahun ini.


Sukan berkuda agak asing bagi kebanyakan rakyat negeri ini sehinggalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memainkan peranan penting merintis Kejohanan Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge (SCTE).

Baginda yang dikenali sebagai peminat nombor satu sukan itu dan juga seorang penunggang handal mendorong pelaksanaan SCTE melalui edisi pertama pada 2002 di Sungai Tong Setiu.

Kejohanan yang mengetengahkan konsep pelancongan sukan di negeri ini akhirnya berjaya meletakkan Terengganu dalam peta destinasi kejohanan berprestij, bertaraf dunia.Ia bermula dengan perlumbaan jarak lebih dari 80 kilometer (km) selaras dengan ketetapan Persekutuan Berkuda Antarabangsa (FEI) dan Persatuan Berkuda Malaysia (EAM) disusuli kejohanan serupa di tasik Kenyir pada tahun berikutnya.

Kejayaan itu mendorong ke arah kewujudan Terengganu Endurance Ride (TER) pada 2004, perlumbaan jarak 140km buat julung kalinya SCTE telah diadakan di Lembah Bidong, Setiu yang dijadikan venue tetap kejohanan.Ekoran pencapaian hebat itu, TER yang dipimpin baginda dan EAM disaran membida kejohanan dunia, FEI World Endurance Championship (WEC).Sebagai persediaan, perlumbaan sejauh 160 kilometer (km) iaitu SCTE diadakan pada November 2006, salah satu perlumbaan paling berjaya di negara ini.
 
Akhirnya, Malaysia diberikan keistimewaan menjadi tuan rumah kejohanan FEI WEC 2008 di mana jarak perlumbaan melebihi 160km. Ia menempatkan Malaysia dengan lebih jelas di persada dunia dalam sukan berkuda dan menjadikan Terengganu International Endurance Park (TIEP) sebagai salah satu sirkit dan perkampungan sukan berkuda terbaik dunia.

SCTE telah menjadi salah satu kejohanan tetap bertaraf dunia yang berjaya menarik ramai peserta dan peminat sukan itu dari serata pelosok dunia saban tahun.Tradisi itu diteruskan lagi tahun ini di mana seramai 90 penunggang dari 15 negara dijangka berentap untuk merebut hadiah berjumlah RM86,000 di kejohanan SCTE 2010 yang bakal berlangsung di TIEP.Jumlah itu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun pertama ia dianjurkan dan ini memperlihatkan ia sentiasa menjadi tarikan.

Kejohanan selama tiga hari yang bermula pada 5 November ini bertemakan 'Karnival Kuda Bersongket' simbol kekayaan warisan negeri pasti menjanjikan kelainan yang lebih menyegar dan menghiburkan pengunjung.Buat pertama kalinya, ia dimeriahkan dengan program mencari harta Karun dari Kuala Lumpur Ke TIEP yang dinamakan 'jejak songket'.

Pelancaran disempurnakan oleh Tengku Seri Bendahara Mustafa Kamel, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu yang mewakili kekandanya, Tuanku Mizan di sini baru-baru ini.Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis itu berkata, ia membawa simbol industri songket yang menjadi kebanggaan rakyat.

''Kejohanan ini turut menarik perhatian peminat sukan berkuda, pemilik dan pembiak kuda, doktor haiwan dan lain-lain yang terlibat dalam industri ini.Ia sekali gus dapat meningkatkan kehadiran pelancong dan pastinya merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri.

Kejohanan semakin dekat dengan hati rakyat, memberikan ruang kepada anak tempatan untuk menimba lebih pengalaman serta melahirkan lebih banyak kepakaran dalam penganjuran sukan bertaraf dunia ini."Oleh itu, kita tidak dapat menolak bahawa pelaksanaan kejohanan berprestij sebegini mampu meletakkan Terengganu sebagai sebuah negeri pelancongan sukan yang unggul," ujarnya.

Usaha itu menepati hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan pelancongan salah satu penjana utama pendapatan negeri dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak."Ia juga selari dengan usaha kerajaan menjadikan negeri bertuah ini sebagai hab bagi kebudayaan, warisan, seni, sukan dan rekreasi di rantau ini," katanya.Beliau yakin bahawa kejohanan bertaraf dunia ini mampu menjadi platform kepada usaha untuk merealisasikan hasrat itu.

Petikan Daripada
Oleh AHMAD FAZLI MOHD YADI
utusanterengganu@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU 14 Okt.

Tiada ulasan: